Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, video berdurasi 27 saat itu menunjukkan seorang lelaki bertikam lidah dengan individu lain.
"Kejadian membabitkan seorang lelaki yang memandu Honda HR-V berwarna perak telah bertengkar mulut dengan mangsa sebelum mengacah mahu memukulnya menggunakan sebatang kayu.
"Pihak polis kini sedang mengesan kedua-dua individu berkenaan bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.
Berdasarkan video berkenaan, kejadian dipercayai berlaku ketika kesesakan lalu lintas, namun punca sebenar pertengkaran masih belum dikenal pasti.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di talian 07-2182323 atau mana-mana balai polis berhampiran. - Sinar Harian
