KAJANG: Suami isteri warga emas ditahan malam tadi bagi membantu siasatan kes langgar lari di kawasan berhampiran Bandar Teknologi Kajang, dekat sini pada 28 Feb lepas.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata pasangan berusia 73 dan 65 tahun itu ditahan di sekitar Kajang pada 11.15 malam tadi susulan laporan polis yang diterima daripada ibu mangsa langgar lari tersebut semalam.

Beliau berkata berdasarkan laporan itu, ibu mangsa memaklumkan bahawa anak lelakinya berusia 42 tahun dilanggar sebuah kereta pada Jumaat lepas.

"Mangsa menghubungi ibunya memberitahu telah dilanggar sebuah kereta dan akibat pelanggaran itu dia tidak boleh bergerak. Pengadu ke lokasi kejadian dan terus membawa anak lelakinya ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Naazron berkata hasil siasatan mendapati terdapat satu video kamera papan pemuka berjaya merakamkan kejadian tersebut.

Beliau berkata rakaman video itu memaparkan mangsa turun dari trak tunda dan cuba menahan kereta berwarna hitam dipercayai dipandu warga emas berkenaan.

"Pemandu dilihat mengundurkan kenderaannya sebelum memecut ke arah mangsa hingga diseret ke atas pembahagi jalan. Suspek kemudian melarikan diri dari tempat kejadian," katanya.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan serta meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu supaya menghubungi balai polis berdekatan atau pegawai penyiasat kes Insp Mohd Hizwan Hamzah di talian 019-6369835.

-- BERNAMA