Dalam kemas kini terbaharu di media sosial, pasangan itu berkata mereka tidak dapat berkongsi dengan lebih lanjut berkenaan kes tersebut, namun percaya keadilan akan berpihak kepada mereka.
"Kami diberitahu tuduhan terhadap kami membabitkan transaksi pada 2018. Kami tidak boleh bercakap tentang hal itu, tetapi kami akan memberi kerjasama dalam siasatan.
"Semasa proses siasatan masih berjalan, kami berharap dapat menjalani hidup seperti biasa, terutama sekali demi kepentingan mereka yang kami sayangi.
"Terima kasih kepada semua yang telah membantu kami, menghantar mesej dan doa," tulis mereka pada Sabtu.
Pada Khamis, pasangan itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pecah amanah pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) bernilai RM8 juta, enam tahun lalu.
Pasangan itu didakwa dengan niat bersama sebagai Pengarah Fashion Valet Sdn Bhd yang telah diamanahkan dana pelaburan Khazanah dan PNB telah melakukan pecah amanah dana pelaburan tersebut, yang mana kedua-dua tertuduh membuat pembayaran berjumlah RM8 juta daripada akaun bank milik syarikat Fashion Valet Sdn Bhd kepada syarikat 30 Maple Sdn Bhd tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah syarikat Fashion Valet Sdn Bhd.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara antara dua dan 20 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Sebutan kes ditetapkan pada 22 Januari tahun depan.