Baginda bertitah penetapan waktu bekerja itu susulan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersidang pada 5 Feb lepas.
"Keputusan dan kemudahan yang diberikan ini adalah untuk memberi peluang kepada penjawat awam memanfaatkan lebih masa bersama keluarga pada bulan Ramadan di samping memuliakan hari Jumaat, penghulu segala hari," titah baginda yang dimuat naik dalam Facebook Kesultanan Pahang.
Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika berangkat merasmikan Majlis Penutup Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Pahang Kali Ke-68 di sini malam tadi.
Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah berharap setiap rakyat mengambil peluang mendekatkan diri kepada al-Quran serta memperbanyakkan tilawah, taddabur dan mengamalkan ajarannya di dalam kehidupan seharian.
Baginda bertitah Ramadan yang bakal tiba dalam beberapa hari lagi turut menjadi waktu dan medan terbaik untuk kembali kepada fitrah serta mengurangkan tumpuan kepada hal dunia.
"Saya juga tidak terlepas dalam menghidupkan pembacaan al-Quran dan mentadabbur ayat suci al-Quran bersama-sama pegawai dan staf di Istana Abdulaziz. Sesungguhnya, al-Quran itu bukan sekadar dibaca tetapi difahami dan dihayati maknanya.
"Ilmu al-Quran ini wajib dipelajari secara bertalaqi, sebagaimana Rasulullah SAW sendiri diajarkan oleh malaikat Jibril," titah baginda.
Majlis tilawah al-Quran peringkat negeri kali ini menyaksikan Ahmad Yasser Mohd Najib muncul johan Qari dengan memperoleh markah 95.50 manakala kategori Qariah dimenangi Siti Fatimah Mohd Noor dengan markah 95.75.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)