KUALA LUMPUR: UMNO tidak pernah terlibat dengan wang tunai dan jongkong emas yang disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di rumah individu yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tegas Presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. 


Ringkasan AI
  • Ahmad Zahid menegaskan UMNO tidak terlibat dengan wang tunai dan jongkong emas yang disita SPRM di kediaman individu dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri.
  • SPRM akan meneruskan siasatan dan tindakan undang-undang jika perlu, termasuk terhadap perbelanjaan dana semasa pentadbiran terdahulu.
  • Ahmad Zahid menyatakan isu ini adalah kes individu dan tidak menjejaskan kepimpinan atau imej UMNO.


Justeru, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menyerahkan kepada SPRM untuk mengambil tindakan susulan. 

"Kita berpendirian bahawa UMNO tidak pernah terlibat dengan wang dan jongkong emas yang telah disita oleh SPRM, dan ia tidak ada kaitan langsung dengan dana politik atau kutipan yang dibuat oleh UMNO. 

"Dalam hal ini, kita serahkan kepada SPRM untuk mengambil tindakan susulan, dan jika perlu tindakan perundangan, ia terserah kepada SPRM serta Jabatan Peguam Negara," katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC), ibu negara, pada Rabu. 

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada isu ini melemahkan kepimpinan UMNO, Ahmad Zahid menegaskan dakwaan tersebut adalah isu individu dan tidak mempunyai kaitan dengan parti, sekali gus tidak menjejaskan imej UMNO. 

"Tidak ada isu dalam kalangan kepimpinan dan ahli UMNO mengenai perkara ini. Kami menganggap kes ini sebagai isu individu," jelasnya. 

Terdahulu, media melaporkan penemuan wang tunai berjumlah RM170 juta dalam pelbagai mata wang serta jongkong emas di sebuah kondominium di ibu negara yang dijadikan 'safe house' oleh pembantu kepada bekas Perdana Menteri berkenaan. 

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata barang rampasan itu ditemui di tiga peti besi dalam kediaman terbabit. 

SPRM memaklumkan bahawa pada 11 Disember lalu, Ismail Sabri diarah mengisytiharkan harta mengikut Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009, dan beliau telah melaksanakannya secara rasmi pada 10 Februari lalu. 

Menurut SPRM, siasatan tertumpu kepada perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti ketika beliau menerajui negara.