Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, barang rampasan itu ditemui di tiga peti besi kediaman terbabit.
"Selain ringgit Malaysia, wang tunai ini antaranya melibatkan mata wang antarabangsa baht, riyal, pound sterling, won, euro, swiss France dan yuan.
"Siasatan SPRM mendapati 'safe house' di Kuala Lumpur itu disewa oleh seseorang dan mungkin salah seorang daripada empat suspek yang ditangkap sebelum ini," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM di sini pada Isnin.
Beliau berkata, SPRM juga sedang meneliti dan menyiasat sekiranya terdapat aset lain membabitkan kes ini.
Jelasnya, perkara itu ada kemungkinan dan siasatan masih diteruskan.
"Kita siasat kes ini dengan profesional tanpa memilih darjat dan kedudukan seseorang.
"Kita lihat isu Keluarga Malaysia dan meneliti dokumen yang dirampas. SPRM siasat sedalamnya kes ini bukan sahaja mengenai projek terbabit, tapi siapa sahaja yang dapat 'manfaat' berhubung kes ini," ujarnya.
Media tempatan pada Ahad melaporkan Ismail Sabri diarahkan SPRM untuk membuat pengisytiharan harta susulan siasatan berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram.
SPRM dilaporkan berkata, arahan itu adalah mengikut Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009 pada 11 Disember 2024.
SPRM kemudian turut menyita wang tunai berjumlah kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa dan merampas 16 kilogram jongkong emas tulen dianggarkan bernilai hampir RM7 juta.
Sebelum ini, dua individu bergelar Datuk adalah antara empat bekas pegawai kanan Ismail Sabri, ditahan SPRM bagi membantu siasatan lanjut berhubung beberapa kes yang dikaitkan dengan rasuah ketika era pentadbiran beliau sebagai Perdana Menteri.
Tiga individu kemudian direman lima hari bermula 21 Februari, manakala seorang lagi direman tiga hari untuk disiasat di bawah Seksyen 16a Akta SPRM 2009. - Sinar Harian
