PASIR MAS: Seorang wanita yang menyamar sebagai tetamu dan mencuri wang RM2,500 pada majlis perkahwinan di Kampung Tasek Berangan di sini pada 1 Februari lalu akhirnya ditangkap polis.


Ringkasan AI
  • Seorang wanita yang menyamar sebagai tetamu dan mencuri wang RM2,500 pada majlis perkahwinan di Kampung Tasek Berangan telah ditangkap polis.
  • Suspek ditahan bersama seorang rakan yang merupakan pemandu teksi, dan siasatan mendapati suspek mempunyai 10 rekod jenayah lampau.
  • Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Pasir Mas untuk mendapatkan perintah tahanan reman.


Suspek ditahan pada jam 2.35 petang pada Ahad oleh anggota polis di hadapan sebuah masjid di Kota Bharu.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, semasa melakukan rondaan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah telah terserempak dengan sebuah teksi jenis Nissan Sentra dalam keadaan mencurigakan.

"Anggota bertugas terus mengekori kereta tersebut dan menahan suspek bersama seorang lagi rakannya yang merupakan pemandu teksi di hadapan sebuah masjid," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut beliau, anggota bertugas telah melakukan pemeriksaan ke atas tubuh badan kedua-dua suspek dan tidak menjumpai apa-apa barang yang menyalahi undang-undang.

Ujarnya, siasatan awal mendapati suspek mengaku telah mencuri wang berjumlah RM2,500 semasa majlis perkahwinan tersebut.

"Semakan ke atas suspek mendapati dia mempunyai 10 rekod jenayah lampau.

"Seorang lagi rakan suspek yang merupakan seorang lelaki berusia 62 tahun mempunyai satu rekod jenayah lampau," katanya.

Menurut beliau, kedua-dua mereka akan dibawa ke Mahkamah Pasir Mas pada Isnin untuk mendapatkan perintah tahanan reman. -Sinar Harian