KUALA LUMPUR: Kedutaan Belanda di Kuala Lumpur menghimpunkan pakar dan aktivis bagi membincangkan peranan wanita dalam landskap digital dan teknologi yang semakin berkembang, selain mengenal pasti cabaran serta peluang dalam era transformasi pesat.

Bertemakan 'Orange Talk - Women Empowerment: Breaking Barriers in the Digital Age', acara ini menghimpunkan lebih 50 peserta bagi sesi panel dinamik yang menampilkan pemimpin dari pelbagai bidang.

Perbincangan itu menekankan keperluan mendesak untuk memajukan kesamaan jantina, khususnya dalam teknologi dan media, sambil mengetengahkan inisiatif inovatif yang mendorong kemajuan.

Duta Besar Belanda ke Malaysia, Jacques Werner menegaskan kepentingan mengiktiraf peranan wanita dalam pelbagai industri dan budaya.

"Ketika kita baru sahaja meraikan Hari Wanita Antarabangsa, kita perlu terus memberi tumpuan kepada sumbangan wanita.

"Belanda mengamalkan dasar luar yang terbuka, inovatif dan inklusif dengan pendekatan feminis kerana apabila wanita berjaya, ekonomi turut berkembang," katanya ketika sesi jaringan acara itu.

Beliau mengakui bahawa banyak cabaran yang dihadapi wanita berpunca daripada sikap berat sebelah dan rangka perundangan yang gagal menyokong kesamaan jantina.

"Isu-isu ini diketengahkan hari ini dan adalah penting bagi golongan lelaki, terutamanya yang berada jawatan pembuat keputusan untuk menyedari ketidaksamaan ini dan mengambil tindakan," katanya.

Werner turut menekankan potensi inovasi dalam kalangan wanita, dengan menyatakan bahawa keterangkuman yang lebih luas dalam tenaga kerja boleh membantu mengatasi kekurangan bakat serta memastikan sumbangan dinilai berdasarkan merit.

"Di seluruh ASEAN, Kesatuan Eropah dan dunia, ketidaksamaan jantina kekal sebagai cabaran global. Ini bukan isu khusus bagi sesebuah rantau, tetapi satu permasalahan sejagat yang memerlukan usaha berterusan dan kerjasama," katanya.

Sesi panel menampilkan Pengarah Negara dan APAC Women Tech Malaysia Yuki Aizawa, Pengarah Eksekutif Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) Wathshlah Naidu serta Perunding Kolaboratif Kemban Kolektif, Adila Ali, dengan moderator oleh Pengurus Komuniti Epic Angles Malaysia, Elena Kersey.

Antara topik utama yang dibincangkan adalah cabaran berterusan yang dihadapi wanita, terutamanya dalam aspek hak reproduktif, identiti jantina serta perwakilan dalam media.

Para panelis turut menekankan peningkatan penentangan terhadap hak-hak asas seperti kontrasepsi, pengguguran selamat, dan kesaksamaan gender.

Mereka menegaskan kepentingan usaha advokasi berasaskan komuniti dalam merebut kembali ruang yang semakin menyempit.

Di sebalik cabaran ini, mereka tetap optimis terhadap peranan teknologi dan media sosial dalam memperkasakan kesamaan jantina.

Aizawa membincangkan inisiatif seperti Pay Gap Malaysia, yang membantu wanita merundingkan gaji yang adil, serta model penilaian kredit alternatif yang bertujuan menyokong usahawan wanita yang menghadapi kesukaran dalam sistem kewangan tradisional.

Adila mengetengahkan inisiatif seperti Projek Halia Tambunan di Sabah, satu model agronomi lestari yang memberi wanita kebebasan kewangan melalui e-dagang.

Sementara itu, Wathshlah menyentuh mengenai bagaimana pelabur lelaki sering gagal memahami keperluan penjagaan kesihatan wanita, menyebabkan ketidakseimbangan dalam pembiayaan.

Beliau turut berkata bahawa suara wanita masih kurang mendapat tempat dalam media Malaysia, dengan kajian terkini menunjukkan kebanyakan sumber yang dipetik adalah lelaki.

Peningkatan penyertaan wanita dalam kepimpinan dan media amat penting bagi memastikan perwakilan yang adil, di samping memperkukuh literasi digital serta perlindungan terhadap keganasan jantina dalam talian.

Acara diakhiri dengan seruan kolektif untuk bertindak, menekankan keperluan meruntuhkan halangan sistemik dan memanfaatkan teknologi bagi mempercepatkan pencapaian kesamaan jantina.

-- BERNAMA