KENINGAU: Seorang wanita warga emas terpaksa menahan kesakitan selama beberapa jam selepas tangannya dipatuk ular ketika meredah banjir untuk keluar dari rumahnya di Kampung Kauran, di sini, pada malam Rabu.

Bagaimanapun, wanita berusia 60-an tersebut sempat diselamatkan oleh sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang melaksanakan tugasan memindahkan mangsa banjir di daerah ini.

Menurut Timbalan Pengarah APM Sabah, Leftenan Kolonel (PA) Erwin @ Elverowen Kinsui berkata, sebaik menerima makluman tersebut, sepasukan anggotanya dikerah ke lokasi untuk membantu mangsa yang dipatuk ular.

"Mangsa cedera di tangan kiri akibat dipatuk ular ketika meredah banjir keluar dari kampungnya untuk berpindah ke tempat yang selamat.

"Mangsa kemudian diselamatkan dan dihantar ke hospital pada jam 10.38 malam untuk rawatan selanjutnya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Katanya lagi, dalam operasi berasingan pihaknya turut berjaya mengeluarkan mangsa banjir yang terperangkap di kampung susulan paras air semakin meningkat ketika itu.

"Dalam kes berasingan, anggota APM membantu membawa keluar sembilan ketua isi rumah (KIR) dari Kampung Kauran Greg yang terperangkap banjir dan seterusnya dihantar ke pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Koningau.

"Pihak APM juga telah membantu mengeluarkan barang-barang penting mangsa banjir daripada kenderaan yang dinaiki selepas kenderaan tersebut terbabas akibat tersalah jalan dan masuk ke dalam parit," katanya.

Katanya lagi, secara keseluruhan operasi yang dijalankan oleh pihak APM Keningau berjalan selama lima jam bermula jam 8 malam Rabu hingga 1 pagi Khamis.

"Seramai dua pegawai dan 15 anggota APM Keningau terlibat dalam operasi ini.

"Pusat kawalan operasi daerah APM Keningau juga telah menerima sebanyak 26 panggilan daripada orang ramai berkaitan kes banjir yang melanda daerah ini," katanya.

Sebelum itu, antara kampung yang terjejas banjir adalah Kanpung Kauran, Kampung Kauran Greg, Kampung Patikang Ulu, Kampung Banjar, Kampung Bariawa Laut, Kampung Lingkudau Ulu, Kampung Lingkudau Ring, Taman Kok Lok, Taman Anggerik, Kampung Tamu Ground Keningau dan Jalan Pekan Keningau. - Sinar Harian