KOTA TINGGI: Seorang wanita maut, manakala anak dan cucu perempuannya cedera dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Kilometer 9.8 Jalan Kota Tinggi-Kluang di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Yusof Othman berkata pihaknya menerima maklumat berkaitan kemalangan membabitkan kereta Proton Saga berwarna merah dan emas itu kira-kira 8.45 pagi.

Beliau berkata penumpang hadapan kereta Proton Saga berwarna emas berusia 59 tahun mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kota Tinggi kira-kira 9.59 pagi.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Proton Saga berwarna merah dari arah Kampung Lukut Batu Ampat menuju ke Kota Tinggi memasuki laluan bertentangan dan melanggar sisi bahagian hadapan kereta dinaiki mangsa.

"Akibat kejadian itu, penumpang hadapan yang juga ibu kepada pemandu meninggal dunia, manakala pemandu wanita berusia 26 tahun menerima rawatan di Hospital Kota Tinggi, sementara anaknya berusia dua tahun pula dirawat di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru," katanya dalam kenyataan.

Yusof berkata pemandu kereta Proton Saga berwarna merah berusia 18 tahun itu pula hanya mengalami kecederaan ringan pada bahagian kaki.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Sebarang maklumat bagi membantu siasatan boleh hubungi pegawai penyiasat trafik Inspektor Mohd Zamiruddin Yaakob di talian 011-3910 5277," katanya.

-- BERNAMA