KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga Indonesia dipercayai berusia sekitar 50-an ditemukan maut dalam insiden kebakaran di sebuah unit Flat Perumahan Awam Sri Terengganu, Jalan Sentul, Kuala Lumpur, tengah malam tadi. 

Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Lumpur, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.38 tengah malam menerusi talian MERS999.

Seramai 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul, BBP Titiwangsa, serta BBP Hang Tuah dikerahkan ke lokasi bersama jentera FRT, LFRT, EMRS dan Water Tanker. 

Komander Operasi Kanan, PgB Yogeswaran Elangovan memaklumkan, kebakaran berlaku di tingkat 10 sebuah unit rumah jenis kekal dengan keluasan 18 x 25 kaki persegi dan melibatkan kemusnahan sebanyak 90 peratus. 

“Api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 1:30 pagi.

"Pasukan bomba menemui seorang mangsa wanita dalam bilik air dan pihak Kementerian Kesihatan telah mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Foto Bomba

Foto Bomba

"Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Punca kebakaran masih dalam siasatan pihak berkuasa, tambahnya.