KLUANG: Seorang wanita maut manakala manakala empat lagi cedera dalam nahas melibatkan dua kenderaan di Kilometer 86, Jalan Kota Tinggi-Kluang awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 7 pagi melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Axia dan sebuah kereta jenis Proton Saga FL.

“Siasatan awal mendapati Perodua Axia yang dipandu seorang jururawat berusia 39, dalam perjalanan dari rumahnya di Kluang ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, tempat beliau bertugas.

“Dalam pada itu, kereta jenis Proton Saga FL yang datang dari arah bertentangan pula dipercayai hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung secara berhadapan dengan Perodua AXIA.

"Akibat pelanggaran itu, penumpang belakang Proton Saga, seorang wanita berusia, 52 tahun, mengalami kecederaan parah di kepala dan muka sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom," katanya.

Pada masa sama, empat lagi mangsa termasuk kedua-dua pemandu dan dua penumpang Proton Saga turut cedera dan kini menerima rawatan di hospital sama.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.

Polis juga sedang meneliti keadaan jalan, cuaca serta keterangan saksi bagi melengkapkan siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang di talian 7784222 atau hotline 07-7766822.

Polis turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan dan berhati-hati terutama di kawasan yang berisiko tinggi berlaku kemalangan. -- Sinar Harian