Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan maut itu pada jam 6.50 petang.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa, seorang wanita warga tempatan berusia 30 tahun, menunggang motosikal dan dipercayai hilang kawalan ketika melalui jalan berselekoh.
"Mangsa juga dipercayai bergesel dengan sebuah kereta di hadapannya sebelum tercampak dan terjatuh dari jejambat. Akibat kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, kejadian berlaku di Kilometer (KM) 0.7 Lebuhraya DASH dari arah Shah Alam dan anggaran ketinggian dari tempat mangsa terjatuh adalah antara 30 hingga 35 meter.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Mana-mana individu yang melihat atau berada di tempat kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Hisyam Azih di talian 017-7378704 bagi membantu siasatan," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai serta pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi undang-undang bagi mengelakkan sebarang kejadian kemalangan.
"Pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang memandu secara berbahaya. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang," katanya. - Sinar Harian
