BANDAR PERMAISURI: Seorang wanita warga emas berusia 72 tahun cedera dan mengalami kerugian kira-kira RM10,000 selepas disamun seorang perempuan di sebuah rumah di Felda Chalok Rahmat, di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Setiu Supt Mohd Zain Mat Dris berkata ketika kejadian sekitar 1.15 tengah hari itu, mangsa didatangi suspek yang berpura-pura bertanya tentang rumah untuk disewa.

"Mangsa yang ketika itu berada di tangga rumahnya memberi tahu ada rumah untuk disewa, sebelum suspek meminta untuk melihat rumah tersebut.

"Mangsa yang mempunyai masalah penglihatan yang tidak jelas kemudiannya dipimpin suspek ke rumah sewa untuk melihat keadaan rumah dan apabila berada di rumah itu, perempuan itu mengajak mangsa duduk atas katil sebelum suspek bertindak merebahkan mangsa dan menekup muka mangsa dengan kain," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zain berkata suspek kemudian bertindak memukul dahi mangsa menggunakan serpihan batu simen ketika mangsa bergeluk ingin melawan suspek, sebelum perempuan itu mengambil rantai emas berloket dan melarikan diri.

Beliau berkata kejadian disedari jiran apabila mendengar bunyi bising di hadapan rumah mangsa dan mendapati warga emas itu dalam keadaan berlumuran darah sebelum dihantar ke Hospital Setiu untuk rawatan.

"Polis sedang giat mengesan suspek yang dianggarkan berusia sekitar 30-an," katanya sambil memberitahu mangsa telah dibenarkan pulang ke rumah selepas menerima rawatan.

-- BERNAMA