KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga asing berusia 49 tahun ditahan polis di lampu isyarat Puchong Jaya selepas didapati menjual tisu kepada pengguna jalan raya, sekali gus mengganggu kelancaran lalu lintas. 

Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, ACP A A Anbalagan, penahanan dilakukan sekitar jam 2.00 petang oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang selepas menerima aduan orang awam. 

“Siasatan mendapati suspek menggunakan modus operandi meraih simpati kerana dia merupakan orang kurang upaya fizikal.

"Pemeriksaan lanjut juga mendapati suspek menyalahgunakan pas lawatan sosial," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Anbalagan berkata, polis turut merampas beberapa barangan milik suspek, termasuk tisu, telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM116 bagi membantu siasatan. 

"Suspek dikenakan saman di bawah Peraturan 10A(1) LN 166/59 Peraturan Lalu Lintas Jalan Raya kerana menjual sesuatu kepada orang dalam kenderaan di persimpangan jalan.

"Selain itu, dia turut ditahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas lawatan, yang boleh membawa hukuman penjara tidak melebihi enam bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," ujarnya.

Pihak polis mengingatkan orang ramai bahawa menjual barangan kepada pengguna jalan raya di persimpangan jalan adalah satu kesalahan.