SEPANG: Seorang warganegara Amerika Syarikat (AS) didenda RM6,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki sebutir peluru tanpa lesen.


Ringkasan AI
  • Seorang warganegara AS didenda RM6,500 selepas mengaku bersalah memiliki sebutir peluru tanpa lesen di KLIA.
  • Majistret turut mengarahkan penjara empat bulan jika gagal membayar denda, tetapi lelaki itu membayar denda tersebut.
  • Peguam merayu hukuman ringan kerana peluru itu milik abang tertuduh dan tertuduh dalam perjalanan ke Myanmar untuk perkahwinan.


Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan turut mengarahkan Bei Khe, 28, dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Lelaki itu membayar denda tersebut.

Pengendali forklift di AS itu, didakwa memiliki sebutir peluru jenis Rimfire tanpa lesen atau permit senjata sah pada 12.05 tengah hari 1 Mac di Terminal Satu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 (Akta 206), memperuntukkan penjara maksimum tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamed Wafi Husain manakala Bei Khe diwakili peguam Zaflee Pakwanteh.

Zaflee merayu hukuman ringan dikenakan mengambil kira anak guamnya mengaku bersalah dan telah insaf sejak berada dalam tahanan reman, selain tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

"Anak guam saya ditahan semasa sedang transit ke Yangon, Myanmar bagi melangsungkan perkahwinan pada 15 Mac ini," katanya.

Zaflee berkata beg mengandungi peluru itu merupakan milik abang tertuduh di AS yang dipinjamnya.

-- BERNAMA