KOTA BHARU: Tentera Darat Malaysia (TDM) menahan seorang pendatang tanpa izin warga Pakistan kerana cuba meloloskan diri di Tanah Merah berhampiran sempadan Malaysia-Thailand.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan pendatang itu ditahan pada 1.20 pagi awal hari ini semasa TDM mengekang aktiviti Jenayah Rentas Sempadan daripada berlaku di Kawasan Tanggungjawab Briged Kelapan Infantri Malaysia.

"Pasukan beroperasi telah mengesan kehadiran dua lelaki menunggang motosikal ke arah pangkalan haram di sempadan Sungai Golok sebelah Malaysia.

"Apabila diserbu, kedua-dua mereka cuba melarikan diri, namun pasukan operasi berjaya menahan seorang lelaki manakala seorang lagi melarikan diri ke Thailand dengan menyeberangi Sungai Golok," menurut kenyataan itu hari ini.

Setelah diperiksa, lelaki itu mendakwa dia telah bekerja di Pulau Pinang sejak 2024, namun tiada bukti kemasukannya ke Malaysia secara sah direkodkan dalam pasport antarabangsa miliknya.

Selain itu, lelaki berkenaan turut mendakwa perjalanannya untuk meninggalkan Malaysia melalui laluan Thailand diuruskan oleh lelaki yang melarikan diri, dipercayai bertindak sebagai ejen mengatur proses kemasukan dan penghantaran pendatang antara Malaysia dengan Thailand.

Turut ditemukan bersama lelaki itu ialah visa pelancong ke Thailand yang tempoh sah laku hingga 7 Mei 2025, telefon bimbit, beberapa barangan peribadi dan sebuah motosikal dipercayai milik lelaki yang telah melarikan diri.

"Jumlah keseluruhan barangan yang ditahan adalah sebanyak RM5,959 dan pendatang terbabit diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 5 (2) Akta Imigresen 1959/63," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA