Skim baharu itu menawarkan tiga pilihan fleksibel iaitu Emas, Perak dan Platinum dengan pembiayaan sehingga RM150,000 kepada pemohon yang layak.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Ibrahim Sani, skim pembiayaan itu membolehkan penguasaan ekonomi dapat dirasai menerusi pembiayaan pendidikan langsung kepada penerima manfaat dan bakat-bakat Bumiputera.
Jelas beliau, pengambilan pertama memfokuskan kepada golongan dewasa yang bekerja dan tidak bekerja, dengan sasaran seramai 7,200 pendaftaran.
“Ini merupakan tiga kali ganda lebih ramai daripada bakat-bakat yang kita bantu sebelum ini.
“Dua sektor yang masih diinginkan dan ‘haus’ tenaga pekerja dan bakat-bakat adalah sektor teknologi dan profesional. Di sektor teknologi, kita telah melihat terdapat ribuan kekosongan pekerjaan seperti dalam sektor sains data.
“Satu lagi sektor yang kita lihat masih ‘haus’ untuk mendapatkan bakat-bakat adalah keselamatan siber dan kecerdasan buatan (AI),” katanya kepada Astro AWANI.
Beliau ditemui selepas majlis Pengumuman Skim Kewangan Baharu yang diluncurkan oleh Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli di ibu negara pada Rabu.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Yayasan Peneraju menawarkan 1,500 tempat untuk menambah pensijilan profesional.
Selain itu, sebanyak 5,000 pendaftaran disediakan dalam bidang teknologi dengan menawarkan pembiayaan sehingga RM30,000.
Manakala, 500 tempat untuk graduan yang memiliki ijazah dan 200 lagi masing-masing disediakan untuk pensijilan profesional perkaunan seperti Charter Financial Analyst (CFA) dan Professional Project Management (PMP).
Ibrahim menambah, bakat-bakat Bumiputera juga berpeluang membuat beberapa kali permohonan pendidikan bagi menambah kemahiran yang diperlukan, selepas melengkapkan latihan.
“Kita boleh memberikan pembiayaan untuk tahap kedua, ketiga, keempat dan seterusnya. Kita ada motivasi dalaman untuk bakat-bakat itu mendapatkan pendidikan yang sepenuhnya, jika mereka lengkapkan pendidikan,” katanya lagi.
Yayasan Peneraju, jelas beliau turut menyasarkan 20 peratus penyertaan Bumiputera Sarawak dalam skim pembiayaan pendidikan baharu itu.
Skim ini terbuka kepada rakyat Malaysia Bumiputera berusia 16 tahun ke atas, dengan surat tawaran yang sah atau bukti pendaftaran daripada Institusi Pembelajaran & Latihan (LTI) yang diluluskan oleh Yayasan Peneraju.
Mereka berminat boleh melayari laman web www.peneraju.org untuk mendapatkan maklumat lanjut.
