Anugerah tersebut diberikan atas perintisannya dalam pelaksanaan pembuatan termaju pertama di Malaysia yang berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan robotik untuk Clarion Malaysia.
Penghargaan global tersebut menyusul selepas kejayaan berganda syarikat telekomunikasi itu meraih Anugerah Telekom Asia 2025 di Singapura dua minggu lalu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communications, Wing K. Lee, anugerah itu adalah bukti kukuh pihaknya untuk berinovasi serta menyediakan penyelesaian bertaraf dunia bagi memperbaiki kehidupan dan meningkatkan produktiviti.
"Ya, 5G bukan sekadar tentang kelajuan yang lebih pantas, ia tentang mengubah industri, memperkasakan perniagaan, serta mewujudkan pemberdayaan digital untuk negara.
"Kami berterima kasih atas pengiktirafan ini bersama kumpulan rakan industri yang dihormati di pentas global. Kemenangan tiga kali ini memacu tekad kami untuk membantu Malaysia melonjak sebagai negara digital dan memajukan ekonomi negara demi manfaat seluruh rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu malam.

Anugerah GTI diberikan untuk mengiktiraf sumbangan dan inovasi yang luar biasa dalam pembangunan 5G yang memacu evolusi jalur lebar mudah alih global.
Secara khusus, Anugerah Inovasi Bersepadu 5G-A×AI mengiktiraf pengendali dan vendor yang menyediakan penemuan teknologi inovatif, perkhidmatan mudah alih, aplikasi serta penyelesaian yang didayakan oleh penyepaduan 5G-SA (berdiri sendiri) dan AI yang telah dilancarkan atau dilaksanakan secara komersial dalam percubaan.
