Zambry berkata pihaknya menerima peletakan jawatan itu kerana Mohd Ekhwan memberikan sebab mahu menumpukan perhatian terhadap perkara lain.
"Beliau telah menjalankan tugas dengan baik, turut dihormati oleh rakan-rakan, beliau telah menjadi NC (Naib Canselor) dan telah disambung, jadi atas kapasiti itu beliau merasa telah sampai masa (meletak jawatan)," katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Forum Pendidikan Tinggi Malaysia-Uzbekistan di Universiti Pendidikan Sultan Idris di sini hari ini.
Terdahulu media melaporkan Mohd Ekhwan mengumumkan meletakkan jawatan sebagai Naib Canselor UKM berkuat kuasa Ahad.
Mohd Ekhwan kali pertama dilantik bagi jawatan itu pada 1 Jan 2021 hingga 31 Dis 2023 sebelum perkhidmatannya disambung semula.
Sementara itu, Zambry berkata beliau menghormati keputusan tersebut dan memberitahu pelantikan baharu akan melalui proses biasa serta akan diumumkan kemudian.
Beliau turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih atas khidmat Mohd Ekhwan selama menjawat jawatan itu.
-- BERNAMA