Pengerusinya Datuk Asmuni Awi berkata, Amanah Perak turut memulakan persiapan awal menyusun jentera bagi memastikan calon yang bakal dinamakan BN kelak mengekalkan kemenangan di Ayer Kuning.
Ia sekali gus, katanya, mengukuhkan kerjasama dan semangat perpaduan antara BN dan Pakatan Harapan (PH), khususnya di Perak.
"Sokongan tidak berbelah bahagi ini antara lain bagi memberi isyarat jelas kepada rakyat bahawa kestabilan politik yang dicapai menerusi Kerajaan Perpaduan perlu dipelihara dan diperkukuh.
"Ia bagi memastikan perancangan dan dasar yang sedang dilaksanakan, sama ada di peringkat negeri mahupun pusat, adalah keutamaan kepada negara pada ketika ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Asmuni berkata, Mesyuarat Pengurusan Amanah Perak yang diadakan pada Ahad telah mengarahkan sayap parti Angkatan Wanita Amanah (AWAN), Pemuda dan Wanita Muda Amanah (WARDA) membuat perbincangan rasmi bersama BN.
Ia bagi menyusun strategi menyasarkan pengundi muda dan wanita sebagai kumpulan sasaran meraih undi dalam PRK itu nanti.
"Amanah Perak yakin Kerajaan Perpaduan di negeri ini boleh menjadi model terbaik dalam mempamer keutuhan kerjasama BN-PH dan manfaat yang diperoleh rakyat menerusi dasar dan polisi yang dilaksana," katanya lagi.
Ahli DUN Ayer Kuning Ishsam Shahruddin, 59 tahun, meninggal dunia pada Sabtu selepas menyertai perlawanan bola sepak di Stadium Bandaraya, Georgetown, akibat serangan jantung.
Speaker DUN Perak Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid dilaporkan akan menghantar pemakluman notis kekosongan kerusi DUN tersebut kepada SPR seawal esok.
