KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dua bekas kakitangan Teresa Kok semalam, dipercayai berhubung satu ucapan yang disampaikan Ahli Parlimen Seputeh itu di Parlimen tahun lalu.

Teresa dalam kenyataan di Facebook rasminya berkata, beliau terkejut apabila mendapat tahu dua bekas pembantunya dipanggil untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Kata Teresa, beliau dimaklumkan bahawa salah seorang daripada mereka telah direman oleh SPRM untuk siasatan lanjut sehingga Ahad ini.

"Ia dipercayai berkaitan dengan ucapan saya di Parlimen berhubung perolehan papan pintar oleh Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan pada 14 November tahun lepas.

"Penting untuk ditegaskan bahawa ucapan saya bukanlah serangan terhadap mana-mana individu atau jabatan, sebaliknya satu gesaan untuk ketelusan mengenai pemerolehan papan pintar oleh Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan," katanya.

Teresa menjelaskan, beliau tidak mempunyai sebarang kaitan atau pengetahuan mengenai keputusan SPRM untuk menahan bekas kakitangannya itu dan menegaskan bahawa perkara itu berada di luar kawalannya.

Beliau juga kesal apabila dipersalahkan oleh beberapa ahli partinya serta keluarga bekas kakitangannya berhubung tindakan SPRM itu.

"Saya ingin tegaskan dengan jelas bahawa SPRM adalah badan bebas dan siasatan itu dijalankan tanpa sebarang campur tangan.

"Keputusan dan tindakan SPRM adalah sepenuhnya di bawah bidang kuasa mereka dan tiada sesiapa, termasuk saya sendiri, mempunyai sebarang kuasa atau pengaruh terhadap mereka," katanya.

Berikutan itu, Teresa menggesa semua pihak agar tidak membuat spekulasi tidak berasas atau menimbulkan tuduhan tanpa bukti serta membiarkan proses siasatan berjalan tanpa sebarang gangguan.

"Adalah penting untuk kita menghormati kedaulatan undang-undang dan memberikan pihak berkuasa ruang untuk menjalankan tugas mereka secara adil dan telus," ujarnya. - Sinar Harian