KUALA LUMPUR: Pengerusi Badan Pimpinan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Wilayah Persekutuan, Datuk Radzi Jidin telah memuktamadkan barisan jawatankuasa BPN bagi penggal 2024-2027.

Menurut Setiausaha Bersatu Wilayah Persekutuan, Dr Nur `Izzah Norman, ia menampilkan gabungan pemimpin profesional bagi memperkukuh struktur parti sebagai persediaan menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

"Pembentukan badan pimpinan baharu ini menekankan kecekapan organisasi dan hala tuju politik yang lebih progresif bagi menghadapi cabaran semasa.

“Keutamaan kini diberikan kepada pemerkasaan struktur parti, pengukuhan jentera akar umbi serta kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan pilihan raya lebih awal daripada jangkaan,” kata Nur `Izzah dalam kenyataan semalam.

Selain Nur `Izzah selaku Setiausaha Negeri, barisan Jawatankuasa BPN Bersatu Wilayah Persekutuan 2024-2027 dianggotai Rosman Nordin sebagai Ketua Penerangan, Ad Afnan Shaharuddin sebagai Bendahari Negeri serta Ahli Jawatankuasa yang terdiri daripada Ketua-Ketua Bahagian.

Nur `Izzah berkata, barisan kepimpinan ini akan memberi fokus untuk memperkasa jentera parti, meningkatkan penglibatan akar umbi, mengukuhkan kedudukan politik parti dan memastikan kesiapsiagaan menghadapi PRU16.