Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Steven Sim berkata badan audit bebas itu akan bertindak sebagaimana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada pemilihan tersebut.
Pada masa sama, beliau menolak dakwaan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, M Satees yang menyatakan wujudnya amalan politik wang atau cubaan membeli perwakilan dalam pemilihan CEC parti itu.
"Saya yakin dengan budaya DAP, perwakilan dan ahli bahawa tiada perkara seperti itu (politik wang dan beli perwakilan)," kata Sim yang juga Menteri Sumber Manusia di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian kepada pembeirta selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Wanita Berdaya Selangor (WBS) dan TalentCorp bagi menjayakan Jelajah Wanita MyWIRA di sini.
Turut hadir Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Sim yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang berkata tuduhan yang dilemparkan adalah tidak berasas memandangkan Satees bukan lagi ahli DAP.
"Dia bukan sahaja bekas ADUN, tetapi bekas ahli. Jadi bagaimana dia boleh dapat maklumat semua itu. Beliau bukan ahli parti dan boleh cakap apa sahaja, kalau hendak pergi ke SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) itu hak dia," katanya.
Pemilihan DAP pada Kongres Kebangsaan DAP Ke-18 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini hujung minggu ini menyaksikan 70 calon bakal merebut 30 jawatan dalam CEC.
-- BERNAMA
