SHAH ALAM: Gendang Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor sudah dipalu selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan secara rasmi hari ini, dua hari lebih awal daripada mandat yang sepatutnya tamat pada 25 Jun ini.
Speaker DUN Selangor Ng Suee Lim telah menyerahkan watikah pembubaran kepada Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Selangor Shafie Taib di Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah di sini, pagi tadi, bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.
Ia menyaksikan bermula hari ini Selangor ditadbir oleh kerajaan negeri sementara sehingga kerajaan baharu dibentuk selepas PRN kelak.
Selangor mengikuti Kelantan yang telah membubarkan DUN semalam, diikuti Pulau Pinang serta Kedah dijangka pada 28 Jun, Negeri Sembilan pula dua hari kemudian, manakala Terengganu belum memuktamadkan tarikh pembubaran DUN ketika tempoh akhir penggal akan tamat pada 30 Jun.
Selangor mempunyai 56 DUN dan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menang 51 kerusi meliputi PKR (21), DAP (16), Amanah (lapan) dan Bersatu (enam).
Barisan Nasional (BN) dan PAS pula masing-masing mendapat empat dan satu kerusi.
Sepanjang penggal ini, Selangor telah menyaksikan empat Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan iaitu di DUN Sungai Kandis; Balakong; Seri Setia dan Semenyih berikutan penyandang kerusi dari PH meninggal dunia.
Tiga daripada kerusi tersebut berjaya dipertahankan PH, manakala kerusi Semenyih berjaya dirampas BN.
Ekoran Langkah Sheraton, kerajaan PH Selangor pada 5 Mac 2020 bertindak menyingkirkan Bersatu daripada gabungan itu, menyebabkan mereka kehilangan lima kerusi milik Bersatu yang dimenangi pada PRU-14.
Selain itu, tiga bekas ADUN yang dipecat dari PKR iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Bukit Antarabangsa); Muhammad Hilman Idham (Gombak Setia) dan Haniza Mohamed Talha (Ampang Jaya) serta ADUN Sementa Dr Daroyah Alwi yang keluar dari parti itu juga turut menyertai Bersatu.
Namun pada tahun lepas, Haniza dan Dr Daroyah telah mengumumkan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Bilangan kerusi Bersatu semakin mengecil apabila ADUN Kuang, Sallehudin Amiruddin meninggalkan parti itu dengan menjadi wakil rakyat bebas, manakala ADUN Jeram Mohd Shaid Rosli dan ADUN Batang Kali Harumaini Omar menyertai parti Pejuang.
Pada 16 Feb lepas, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali diisytiharkan kosong ekoran penyandangnya Harumaini, tidak hadir ke sidang DUN Selangor melebihi tempoh enam bulan. Bagaimanapun, tiada pilihan raya kecil diadakan berikutan pengisytiharan tersebut.
Keadaan politik di Selangor tambah menarik apabila dua ADUN Amanah Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar dan Ahmad Mustain Othman, masing-masing mewakili DUN Meru dan Sabak membuat kejutan dengan menyertai PKR, sekutu mereka di dalam PH.
Selain itu, kerusi DAP di Selangor turut berkurangan apabila ADUN Teratai Bryan Lai Wai Chong mengumumkan keluar parti untuk bergerak sebagai wakil rakyat bebas sebelum menyertai Warisan.
Mengikut parti politik, komposisi DUN Selangor sebelum dibubarkan terdiri daripada 19 wakil PKR, DAP (15), Amanah (enam), BN (lima), Bersatu (empat) manakala PAS, Pejuang dan Warisan masing-masing satu kerusi serta seorang wakil rakyat bebas selain satu kerusi diisytiharkan kosong.
-- BERNAMA
Bernama
Fri Jun 23 2023
Sepanjang penggal ini, Selangor telah menyaksikan empat PRK diadakan iaitu di DUN Sungai Kandis; Balakong; Seri Setia dan Semenyih berikutan penyandang kerusi dari PH meninggal dunia. - Gambar Bernama
India umum langkah belanjawan pacu pertumbuhan ekonomi, tingkat perbelanjaan ketenteraan
Ekonomi India dijangka berkembang pada kadar 6.4 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026.
Industri seks bukan produk pelancongan direstui kerajaan Thailand
Sebaliknya, kerajaan negara gajah putih itu lebih berminat menawarkan produk pelancongan berkaitan sejarah, budaya, warisan serta tempat-tempat menarik kepada pelancong asing.
Gencatan senjata: 32 rakyat Palestin dari Tebing Barat dibebaskan
Ramai daripada tahanan yang dibebaskan dilihat berada dalam keadaan kesihatan yang lemah, dengan ada yang hampir tidak dapat berjalan.
Pelaksanaan gaji RM1,700 perlu dipantau secara holistik
Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal, ini kerana masih wujud aduan daripada pekerja berhubung pemotongan elaun oleh syarikat selepas pengumuman kerajaan mengenai gaji minimum.
Menteri luar negara arab tolak cadangan Trump
Para menteri luar negara Arab pada Sabtu menolak cadangan pemindahan warga Palestin dari tanah mereka dengan apa juga alasan.
Tumpuan Ahad – 2 Februari 2025
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan di Astro AWANI.
Jumlah mangsa di Sabah, Sarawak menurun malam ini
Jumlah mangsa banjir di Sabah dan Sarawak menurun dan beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup setakat 8 malam ini.
13 penuntut universiti beri keterangan pada Ahad
Seramai 13 penuntut universiti telah diberikan pemakluman untuk hadir memberi keterangan esok bagi membantu siasatan berhubung penganjuran Himpunan Rakyat Benci Rasuah di hadapan sebuah pusat beli-belah terkemuka di sini pada Sabtu lepas.
Pengurusan taman tema akan dipanggil, jawab beberapa persoalan - Amirudin
Amirudin berkata, pertemuan berkenaan adalah untuk menjawab beberapa persoalan berbangkit, antara lain membabitkan isu keselamatan.
Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Sabtu, 1 Februari 2025.
SPR terima watikah pembubaran DUN Kedah
Watikah itu diterima Pengarah SPR Kedah Aldrina@Mimi O.P. Andu yang diserahkan Setiausaha DUN Kedah Mohamad Azlee Ahmad di Wisma Darul Aman.
DUN Selangor bubar, gelanggang PRN dibuka
Gendang Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor sudah dipalu selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan secara rasmi hari ini, dua hari lebih awal daripada mandat yang sepatutnya tamat pada 25 Jun ini.