KUCHING: Selepas dijatuhi hukuman denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana bersalah menghina Yang di-Pertuan Agong tiga tahun lepas, Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, Iswardy Morni akan melepaskan semua jawatannya dalam parti itu, berkuat kuasa Rabu ini.

Diumumkan dalam satu audio siar miliknya, Iswardy, 48, berkata, tindakannya itu adalah selari dengan keputusan pihaknya untuk tidak meneruskan rayuan kes tersebut, yang diputuskan pada 23 Januari lalu.

"Oleh kerana saya tidak merayu maka kekal hukuman itu… kekal rekod jenayah itu kepada saya.

"Jadi saya tidak boleh bertanding dalam pilihan raya yang akan datang untuk satu term (penggal) sehingga umur saya 55 tahun nanti.

"Dari sekarang, tujuh tahun, next PRU (pilihan raya umum) will be 2027, so tambah 5 tahun selepas 2027, tahun 2032 baharu saya boleh bertanding,” jelasnya.

Bagaimanapun, berhubung soal pemilihan parti, beliau berkata, perkara itu terpulang kepada keputusan parti.

"Tapi saya percaya, parti pun tidak akan membenarkan saya bertanding sebarang jawatan dalam parti.

"Tempoh sekarang ini, mulai minggu depan saya tidak lagi menjadi ketua cabang, sudah tidak lagi menjadi Setiausaha Koordinasi Penerangan, saya juga tidak lagi menjadi Pengarah Strategi PKR Sarawak kerana semua jawatan itu telah "dilucutkan" kerana kes saya," tambahnya.

Iswardy berkata, kini beliau merupakan ahli biasa dalam parti.

"Saya juga tidak boleh dilantik Senator kerana ada rekod jenayah selama satu penggal," ujarnya yang juga seorang pengamal undang-undang.

Iswardy yang juga Ketua Cabang PKR Petra Jaya dituduh di mahkamah selepas melakukan penghinaan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerusi laman Facebooknya, Iswardy Morni Official pada 29 Mei 2021.

Beliau kemudian didakwa di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutaan 1948.