KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) perlu mengambil iktibar daripada kemelut perjalanan politik Parti Kongres di India serta Parti Demokratik Liberal (LDP) di Jepun.

Presiden PBB yang juga Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata sebelum ini kedua-dua parti berkenaan ialah parti dominan di negara masing-masing namun kini berdepan isu sokongan rakyat.

Beliau berkata untuk kekal relevan, PBB yang ditubuhkan pada 30 April 1973 dan telah lebih 50 tahun menerajui Kerajaan Negeri Sarawak harus sentiasa bersifat terbuka kepada sebarang perubahan.

"Kita (PBB) mempunyai banyak rujukan dalam persoalan relevan ini, parti yang hayatnya panjang tetapi kepercayaan luntur seperti Parti Kongres dan LDP.

"Parti itu berdepan cabaran kebolehpercayaan dan kepercayaan semakin luntur yang memberi kesan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Perhimpunan Agung ke-16 PBB di sini hari ini.

Abang Johari berkata selain faktor sokongan yang menyebabkan sesuatu parti hilang dominasi, faktor dalaman parti juga penting dalam menentukan kelangsungan parti.

"Syukur di dalam PBB sudah ada budaya antara pemimpin sayap Pesaka dan Bumiputera yang telah wujud sekian lama. Sebab itu pemimpin-pemimpin muda PBB perlu faham budaya ini, mereka perlu faham bahawa kestabilan politik penting," katanya.

PBB terbahagi kepada dua sayap iaitu sayap Bumiputera yang terdiri daripada Melayu/Melanau manakala sayap Pesaka terdiri kaum Iban, Bidayuh dan Orang Ulu.

Seramai lebih 4,000 perwakilan menghadiri perhimpunan agung itu yang berlangsung dari 14 hingga 16 Feb ini.

-- BERNAMA