Ringkasan AI
- Tengku Zafrul akan berbincang dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sebelum membuat sebarang keputusan mengenai keahliannya dalam mana-mana parti politik.
- Terdapat spekulasi bahawa Tengku Zafrul mungkin meninggalkan UMNO dan pernah dipelawa menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
- Tengku Zafrul menyedari cadangan untuk dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat selepas penggalnya sebagai senator berakhir, tetapi menegaskan bahawa sebarang jawatan bergantung kepada keputusan Perdana Menteri.
Beliau berkata pengumuman rasmi mengenai perkara itu akan dibuat hanya selepas beliau berbincang dengan Ahmad Zahid.
"Saya kena sampaikan kepada Datuk Seri Ahmad Zahid terlebih dahulu," katanya selepas menghadiri program amal Golf KITA 2025 di sini hari ini, yang dirasmikan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Baru-baru ini timbul spekulasi Tengku Zafrul akan meninggalkan UMNO selepas dikatakan tiada lagi masa depan politiknya dalam parti tersebut, dan media juga sebelum ini melaporkan yang beliau pernah dipelawa menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) beberapa bulan lepas.
Sementara itu Tengku Zafrul berkata beliau sedia maklum dengan laporan media mengenai cadangan pihak tertentu supaya beliau dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat selepas penggalnya sebagai senator berakhir Disember depan.
"Bagi saya apa-apa pun jawatan yang diberi sekarang atau pada masa hadapan, itu terpulang kepada Perdana Menteri," katanya dan menambah fokus beliau kini adalah meneruskan tugas penting di kementerian, termasuk memainkan peranan dalam menjayakan komitmen Malaysia sebagai pengerusi ASEAN tahun ini.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)