Pelantikan MPT itu juga turut menyaksikan empat lagi yang terpilih, Datuk Harisson Hassan (Bahagian Kuala Selangor), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bahagian Kepala Batas), Danni Rais (Bahagian Jelebu) dan Alkaf Jaziri Abdillah Suffian (Bahagian Santubong).
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin melantik MPT, Ketua Badan Pimpinan Negeri dan Timbalan dalam Mesyuarat MPT Bersatu yang pertama tahun 2025.
“Kesemua pelantikan tersebut masing-masing selaras dengan peruntukan di dalam Perlembagaan Parti.
“Gabungan pimpinan muda, profesional dan pimpinan yang berpengalaman diyakini akan membantu memperkukuhkan organisasi parti serta meneruskan idealisme Bersatu,” katanya pada Sabtu.
Sebelum ini, Muhyiddin akhirnya mengumumkan pelantikan jawatan kanan dalam MPT secara rasmi bagi sesi 2024 hingga 2027.
Beliau berkata, pelantikan itu dibuat berdasarkan Fasal 13.9 Perlembagaan Bersatu.
Dalam pada itu, Mohamed Azmin berkata, antara perkara utama dibincang dalam mesyuarat dipengerusikan oleh Muhyiddin adalah mengenai persiapan Pilihan Raya Negeri Sabah yang dijangka akan diadakan dalam masa terdekat.
“Bersatu sedang mengadakan perbincangan dan libat urus dengan pelbagai pihak di kalangan pemegang taruh di Sabah, memperhalusi kawasan tumpuan serta menyediakan manifesto untuk masa depan rakyat Sabah.
“MPT juga diberikan taklimat cukup komprehensif mengenai halatuju dan aktiviti yang sedang dan akan dijalankan oleh Sayap Srikandi, Armada, Srikandi Muda dan Bersekutu serta Penerangan,” ujarnya.
Menurut beliau, kesemuanya diberikan peranan aktif untuk menjana kekuatan baharu dan membina keyakinan rakyat kepada Bersatu.
- Sinar Harian