KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menggunakan sistem pengundian elektronik dengan elemen kecerdasan buatan (AI).

Menurut Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh, langkah itu akan melancarkan proses pengundian, selain memastikan pemilihan berlangsung secara telus, adil, dan berintegriti.

Jelas beliau, ia juga penambahbaikan kepada sistem sebelum ini yang dijalankan secara manual dan berisiko berlaku ralat manusia.

“Dengan pelaksanaan e-KYC, anggota perlu mengimbas kad pengenalan mereka bersama wajah menggunakan teknologi AI untuk mengesahkan identiti mereka sebagai anggota sah PKR.

"Selain itu, nombor telefon anggota juga boleh dikemas kini bagi menerima kod pengesahan (OTP) untuk tujuan pengundian. Proses ini termasuk kemas kini maklumat peribadi, pembayaran yuran, serta persiapan untuk pengundian," katanya.

Beliau berkata demikian dalam wawancara bersama sebuah stesen televisyen tempatan.

Ujar Fuziah, sistem pengundian elektronik dengan elemen AI itu menjadikannya parti pertama yang selari dengan perkembangan teknologi dalam pemilihan parti akan datang.

Katanya lagi, sistem e-KYC juga telah digunakan secara meluas dalam sektor perbankan dan ia terbukti selamat bagi pengesahan identiti seseorang serta mengelakkan manipulasi.

“Selain itu, ahli parti dapat menunaikan tanggungjawab berdemokrasi tanpa mengganggu kehidupan seharian kerana pengundian boleh dilakukan secara dalam talian.

“Setiap pengundi akan diberikan satu ID yang dienkripsi, dan ia tidak boleh digodam atau ditiru. Teknologi ‘blockchain’ ini memastikan sistem pemilihan lebih terjamin dan tidak boleh dipertikaikan," tambah beliau.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan Presiden PKR yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberikan sokongan penuh terhadap inisiatif tersebut.

Proses pemilihan PKR kali ini akan melalui tiga langkah utama: e-KYC, pendaftaran, dan pembayaran yuran.

Pengundian peringkat cabang dijadualkan berlangsung pada April, manakala pemilihan peringkat Kongres Nasional pada Mei depan.