BESTARI JAYA: Keputusan sama ada jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dipertandingkan atau sebaliknya dalam pemilihan Mei depan, akan diputuskan pucuk pimpinan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Presiden parti itu berkata, beliau tidak mahu mencampuri urusan tersebut.

“Biar mereka putuskan. Saya tak campur. Biar demokrasi, yang bertanding, tak bertanding, dia putus sendiri,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Program Residensi Rakyat (PRR) Harmoni Madani Bestari Jaya, di sini pada Sabtu.

Pada 1 Feb lepas, media melaporkan PKR berkemungkinan tidak akan mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan parti akan datang.

Pengerusi Biro Antarabangsa PKR Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin dilaporkan sebagai berkata, cadangan itu berdasarkan beberapa pandangan daripada proses rundingan dalaman yang diadakan sebelum ini.

"Ia (pandangan) untuk memastikan dalaman parti itu lebih tenang serta melancarkan khidmat bakti kepada rakyat memandangkan pilihan raya hanya berbaki kira-kira dua tahun lagi.

"Apa pun tidak ada keputusan dalam parti yang menghalang, tetapi kita di peringkat pimpinan ini tentulah ada perbincangan kerana kita ada agenda yang lebih penting," katanya.

Bagaimanapun Bekas Naib Presiden PKR, Mustaffa Kamil Ayub berkata, demokrasi dalam parti perlu dipertahankan.

Mengikut perlembagaan parti, penggal akan datang adalah yang terakhir untuk Anwar sekiranya memilih untuk mempertahankan jawatan tersebut.

Pada 26 Jan lepas, Setiausaha Agung PKR Dr Fuziah Salleh dilapor berkata parti itu akan mengadakan pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat bagi sesi 2025-2028 pada 24 Mei depan.