Mesyuarat itu diadakan susulan keputusan Mahkamah Rayuan Kuala Lumpur yang menolak rayuan Presiden KDM, Datuk Peter Anthony, untuk mengetepikan sabitan bersalah, hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 berhubung kes memalsukan dokumen berkaitan kontrak penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 2014.
Timbalan Presiden KDM, Datuk Wetrom Bahanda mengakui bahawa penyokong dan pemimpin parti kecewa dengan keputusan tersebut namun bertekad untuk lebih bersemangat meneruskan perjuangan parti demi kesejahteraan masyarakat dan masa depan negeri Sabah.
"Tidak sesekali kami akan berundur ke belakang walau setapak, kami akan teruskan perjuangan ini, segala perancangan yang dibuat presiden dan pimpinan tertinggi parti akan diteruskan termasuklah perjuangan kami pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) nanti.
"Saya menyeru semua penyokong KDM di seluruh negeri supaya terus memberikan sokongan padu kepada parti tersebut," katanya dalam kenyataan.
Tambah Ahli Parlimen Kota Marudu itu lagi, beliau bersama pimpinan tertinggi dan semua pimpinan KDM di semua peringkat akan terus berjuang bersama ahli parti semua.
"Kami sudah menempuh pelbagai rintangan termasuk apa yang berlaku pada hari ini, kami akan terus hadapi apa jua rintangan dan cabaran di masa hadapan, demi negeri yang kita cintai ini.
"Untuk makluman juga, satu mesyuarat pimpinan tertinggi KDM akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan hala tuju parti seterusnya," katanya.
Sebelum itu, Peter yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap dipenjarakan serta-merta selama tiga tahun oleh Mahkamah Rayuan menerusi keputusan rayuannya pada Selasa. - Sinar Harian
