Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata pihaknya sememangnya mempunyai calon yang berpotensi dan usaha melobi wakil dari sayap itu sebagai calon dalam sesuatu pilihan raya, merupakan perkara biasa dalam parti.
"Adakah Pemuda UMNO melobi untuk menjadi calon? Insya-Allah, itu sudah tentu. Baik Pemuda, Wanita, Puteri ataupun sesiapa sahaja, perkara itu (melobi) biasa.
"Tetapi kita serahkan kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan, kita beri nama kepada presiden, dan akhirnya presiden akan menilai," katanya dalam sidang media selepas menerima lawatan delegasi Angkatan Muda Partai Golkar Indonesia (AMPG) di Menara Dato Onn di sini, hari ini.
Pada masa sama, Dr Muhamad Akmal menegaskan bahawa UMNO kekal optimis akan mempertahankan kerusi itu dan yakin calon terpilih kelak adalah yang terbaik untuk berkhidmat kepada rakyat.
PRK-AKMAL (CALON) 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR
Ishsam, 59, meninggal dunia disebabkan serangan jantung selepas menyertai Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru di Stadium Bandaraya, Georgetown, Pulau Pinang pada Sabtu.
Sehubungan itu, Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning perlu diadakan memandangkan penggal DUN ke-15 Perak belum mencapai tempoh mandat tiga tahun.
Ishsam yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Tapah sejak 2018 memenangi DUN berkenaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada November 2022 dengan memperoleh 2,213 majoriti undi melalui pertembungan lima penjuru.
Sementara itu, mengulas pertemuan dengan AMPG, Dr Muhamad Akmal berkata mereka antara lain membincangkan aspirasi kedua-dua parti yang bersetuju berkongsi pendapat dan kepakaran, melalui kewujudan Sekolah Politik UMNO dan Institut Golkar.
Beliau berkata memandangkan Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN tahun ini, Pemuda dan Puteri UMNO juga ingin mengambil ruang tersebut untuk memperkukuh hubungan antara pimpinan muda dalam rantau ASEAN.
"Insya-Allah, kita tadi sudah bersetuju untuk merencanakan, mungkin satu konvensyen bersama antara pemimpin-pemimpin muda dalam ASEAN bagi membincangkan beberapa isu seperti pendidikan, tenaga kerja dan tenaga diperbaharui.
"Kita bercadang untuk melaksanakannya dalam tahun ini dan semua parti tidak kira pembangkang mahupun kerajaan akan dijemput, selagi mereka mempunyai sayap Pemuda, sebab saya percaya isu-isu orang muda, isu yang merentasi parti politik," katanya.
-- BERNAMA
