Pengerusinya, Lim Guan Eng berkata, pendirian DAP adalah sejajar dengan kepimpinan tertinggi PH.
Katanya keputusan itu juga telah dipersetujui dalam mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC).
"Kita sebagai Pakatan Harapan, kalau PH ada (buat keputusan) gabungan untuk bersama BN kita akan bersamalah... kita akan ikut keputusan PH bergabung dengan BN.
"Saya tidak mahu bercakap lebih daripada itu, itu adalah keputusan yang kita ambil bersama dalam mesyuarat tertinggi (CEC) dan terpulang kepada kepimpinan tertinggi PH, kita sokong keputusan dibuat,” katanya ketika ditemui di Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada sudah mengadakan pertemuan dengan kepimpinan tertinggi PH berhubung cadangan tersebut.
[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Parlimen tergantung, rundingan bentuk kerajaan bermula
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pimpinan tertinggi pakatan itu hari ini mengadakan pertemuan bersama pemimpin tertinggi BN diketuai Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Pertemuan itu dipercayai bagi membincangkan berhubung pembentukan kerajaan.
Sementara itu Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, beliau tidak menghadiri mesyuarat CEC semalam dan tidak mempunyai makluman jelas berhubung perkara itu.
Namun katanya, apa sahaja keputusan berhubung pembentukan kerajaan adalah tertakluk kepada keputusan parti.