Astro AWANI mengadakan tinjauan di kawasan Timur Sabah untuk mengetahui pandangan dan harapan golongan belia berhubung isu tersebut.
Berdasarkan tinjauan rambang, kebanyakan daripada mereka meletakkan harapan yang tinggi agar parti-parti politik mengutamakan dan memberi peluang kepada calon muda pada PRN kali ini.
Bagi Kamis Burhan yang juga seorang aktivis kemasyarakatan, calon muda harus diberi keutamaan dan ruang yang sewajarnya dalam konteks landskap politik masa kini.
"Semestinya kita mahu calon orang muda pada pilihan raya kali ini sebab pada saya calon muda perlu diketengahkan sekarang juga, orang muda perlu jadi juara pada isu-isu masyarakat.
"Saya juga berpandangan pemimpin muda dan belia hari ini bukan lagi pemimpin masa akan datang mereka adalah pemimpin hari ini, kita boleh angkat mereka sebagai pemimpin hari ini," katanya.


Imam Muhammad Yunus Abu pula berpendapat, selain daripada faktor umur yang muda, seseorang yang
hendak menjadi calon pilihan raya juga perlu mempunyai ilmu pengetahuan termasuk bab agama agar dapat menampilkan ciri kepimpinan dalam memimpin rakyat.
"Ciri pemimpin belia mesti ada pengetahuan, pendidikan agama atau siasah iaitu politik ilmu.
"Politik ini perlu ada pemimpin-pemimpin muda supaya mereka tenang dalam pemimpin bila mereka memimpin kena ada satu rujukan seperti Rasullulah S.A.W zaman pemimpin-pemimpin seperti Saidina Ali dan lain-lain sahabat Nabi Muhammad S.A.W," ujarnya.
Golongan muda yang cergas dalam pergerakan dan mampu memacu kepimpinan ke arah lebih kreatif dan berdaya saing juga antara kriteria yang harus diberi tumpuan, kata Riduan Taufek @ Balok.
"Bagi saya, calon muda sebenarnya mempunyai pendekatan yang luar biasa jika dibandingkan dengan calon-calon sebelum ini.
"Golongan muda mempunyai kemahiran cara kerja yang cekap dan juga kreatif selain mampu bersaing dan mempunyai pemikiran yang terbaik," kata Riduan.
Bagi Shahnoor Abdul Said dan Norsuhaimah Sulaiman pula berpendapat, keperluan menampilkan calon-calon muda dalam PRN pada era masa kini adalah penting kerana lebih ramai orang muda bekerja dan memerlukan pembaharuan untuk memastikan budaya politik yang lebih bersih dan berinovasi.