KUALA LUMPUR: Barisan Timbalan Menteri yang baru dilantik bersedia menggunakan pengalaman sendiri dalam membantu kementerian masing-masing.
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan berkata beliau akan menggunakan pengalaman berkhidmat di tiga kementerian sebelum ini, termasuk Kementerian Kewangan untuk membantu rakyat dan negara.
"Mudah-mudahan pengalaman itu dapat membantu saya untuk menjalankan tugas seterusnya, bagi membantu Kementerian Kewangan dalam melakukan perkara yang penting di perbendaharaan negara, tentunya hasrat saya untuk mengikuti dasar Kerajaan Perpaduan dengan cara terbaik.
"Jawatan adalah amanah yang mesti ditunaikan, jawatan bukanlah satu penghormatan yang disombongkan tetapi amanah yang wajib ditunaikan, dan saya akan melaksanakan dengan sebaik mungkin," katanya selepas selesai mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, hari ini.
Memegang jawatan yang sama, Steven Sim Chee Keong akan menggunakan ilmu yang dipelajari semasa mengikuti Ijazah Sarjana Pembangunan Mampan sebelum ini, dalam memberi perkhidmatan terbaik di Kementerian Kewangan.
"Ini juga peluang untuk saya berkhidmat dengan tokoh yang berpengalaman iaitu Perdana Menteri sendiri, serta Datuk Seri Ahmad Maslan yang dulu seteru dalam politik, sekarang kami menjunjung titah dan lupakan sengketa lama dan beliau juga pernah berkhidmat dalam MOF," katanya.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Liew Chin Tong, berhasrat untuk membantu negara selaras dengan portfolio yang dipegangnya dan berusaha untuk menambah pekerjaan dalam negara serta menyediakan gaji yang berpatutan untuk negara.
BACA: Kabinet Kerajaan Perpaduan: 27 Timbalan Menteri selesai angkat sumpah jawatan
Selain itu, Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah Mohd Nasir pula meluahkan rasa syukur, selepas diberikan kepercayaan dan amanah untuk turut serta dalam mentadbir Kerajaan Perpaduan.
Beliau berkata jawatan yang disandang itu amat 'berat', kerana pengharapan rakyat dalam melihat kerajaan ini berusaha keras amat tinggi.
"Saya memohon supaya kita (kerajaan) untuk berusaha bersama-sama dan berilah peluang supaya kita dapat melakukan sesuatu yang lebih baik," katanya.
Berkongsi reaksi sama, Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni pula berkata antara isu yang akan diutamakan adalah isu kesihatan rakyat pasca pandemik COVID-19 dan akan memperhalusi dasar dan polisi kementerian itu.
"Saya juga akan mendengar pendapat warga kerja Kementerian Kesihatan daripada kepimpinan tertinggi sehingga ke akar umbi. Saya juga akan mengambil pendapat rakan-rakan dalam Parlimen dan saya akan gunakan untuk keputusan yang baik untuk kesihatan yang umum," katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia Mustapha Sakmud berkata negara memerlukan polisi baharu dalam mengurangkan isu pengangguran yang kian meningkat, khususnya dari golongan graduan dan anak muda.
"Isu ini mungkin cabaran besar yang perlu kita (kementeriannya) hadapi. Saya sebagai orang baharu akan cuba sedaya buat sesi keterlibatan bersama Kementerian Sumber Manusia dan akan merangka satu perancangan baharu terhadap sumber manusia di negara ini," katanya.
Dalam pada itu, Adam Adli Abd Halim yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan (KBS) berkata dalam mendepani cabaran hari ini, kementeriannya akan turut memberi perhatian terhadap peranan politik dan demokrasi.
"Saya teruja untuk berkhidmat bersama Hannah Yeoh (Menteri KBS), saya harap kita dapat gerak sama-sama untuk mencapai prestasi yang baik.
"Kita bercakap bukan sahaja prestasi KBS tetapi prestasi masyarakat belia dan sukan itu sendiri, yang sesuai dengan aspirasi terkini yang merakyatkan sukan dan sebagainya.
-- BERNAMA
Bernama
Sat Dec 10 2022

Barisan Timbalan Menteri Kerajaan Perpaduan menandatangani Surat Cara Pelantikan pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Menteri Persekutuan. - Foto BERNAMA

RUU Pembaharuan Semula Bandar dapat tingkatkan kualiti hidup pemilik - Exco P.Pinang
Kerajaan negeri melalui LPNPP telah mewujudkan Garis Panduan Pelaksanaan Pembaharuan Semula Bandar (Pembangunan Perumahan) pada 2022.

Paus Francis berehat selepas dimasukkan ke hospital - Vatican
Ketua Gereja Katolik berusia 88 tahun itu telah menerima rawatan di Hospital Gemelli di Rom selama seminggu.
10 Berita Pilihan - (22 Februari 2025)
Antara pelbagai berita dalam dan luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
Tumpuan Ahad – 23 Februari 2025
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan di Astro AWANI.

Faizal Saari umum bersara daripada hoki antarabangsa
Namun, Faizal menegaskan akan terus beraksi untuk Terengganu dalam saingan MHL serta Piala Tun Abdul Razak.

Penantian berakhir, Selangor FC julang Piala Cabaran
Selangor FC menepati ramalan apabila meraih kemenangan bergaya dengan agregat 7-0 ke atas PDRM FC untuk julung kali menjulang Piala Cabaran.
China kesan satu lagi varian baharu Koronavirus
Penyelidik di Institut Virologi di China, di sini telah mengesan satu lagi varian Koronavirus baharu dikenali sebagai HKU5-CoV-2 yang disyaki berpotensi untuk merebak melalui manusia.
Kepengerusian ASEAN-Malaysia mampu lonjak ekonomi negara
Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 mampu melonjakkan keupayaan Malaysia sebagai destinasi pelaburan, pelancongan dan perdagangan.
Tambah baik peraturan makanan sedia ada
Mengambil contoh penjualan produk gummy, Pensyarah Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nur Aqilah Amalina Jaafar berpandangan, makanan itu masih lagi dijual di pelbagai platform, walaupun ia bertentangan dengan peraturan sedia.
Kerajaan lipat ganda basmi kemiskinan tegar
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan usaha membasmi kemiskinan tegar akan dilipatgandakan dan diteruskan dengan lebih agresif di seluruh negara.

Timbalan Menteri sedia guna pengalaman, bantu Kerajaan Perpaduan
Barisan Timbalan Menteri yang baru dilantik bersedia menggunakan pengalaman sendiri dalam membantu kementerian masing-masing.