KUALA LUMPUR: Ratu luncur air negara Aaliyah Yoong Hanifah memulakan musim 2025 dengan cemerlang apabila meraih tiga pingat emas di Kejohanan Universiti Dunia Persekutuan Luncur Air dan Wakeboard Antarabangsa (IWWF) di Auckland, New Zealand.

Atlet berusia 21 tahun itu meraih emas acara jump wanita selepas melakukan 44.7 meter (m), mengetepikan cabaran wakil Austria Lili Steiner yang mencatatkan 43.5m manakala wakil tuan rumah Lily Meade gangsa dengan 41.5m.

Aaliya meneruskan kecemerlangan dengan meraih emas kedua dalam acara tricks wanita dengan mencatat keseluruhan 7,970 mata mengatasi pencabar dari Kanada Hannah Stopnicki (5,760 mata) untuk perak manakala gangsa milik atlet Australia, Layne Moroney (5,050).

Bagi acara slalom pula, Aaaliya menamatkan saingan di tempat keenam dengan 2.00/55kph/12.00m.

Kejayaan dua emas acara jump dan tricks serta tempat keenam slalom, membolehkan Aaliya merangkul emas ketiga selepas muncul juara keseluruhan dengan jumlah dikumpul 2,863.64 mata., manakala Steiner di tempat kedua dan Meade ketiga.

"Emas pertama acara jump sangat luar biasa. Sejak 13 tahun lepas, setelah menangi emas acara tricks di Sukan SEA 2011 pada usia lapan tahun, saya yakin bahawa suatu hari nanti akan jadi juara dunia," katanya dalam kenyataan hari ini.



-- BERNAMA