KUALA LUMPUR: Pemain boling para kebangsaan Abg Yahya Abg Azhar, sekali lagi mencuri tumpuan dengan meraih pingat emas kedua dalam Kejohanan Boling Dunia Para Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF) 2025 di Kowloon, Hong Kong hari ini.

Pada acara di Pusat Boling Kai Tak Sports Park, Abg Yahya mencatatkan 3,746 jatuhan pin untuk muncul juara dalam acara All Events perseorangan lelaki TPB4 (kecacatan intelektual).

Atlet Australia, Kallan Strong meraih pingat perak dengan 3,585 jatuhan pin , manakala wakil Korea Selatan mencatatkan 3,572 jatuhan pin untuk memenangi pingat gangsa.

Walau bagaimanapun, Abg Yahya, yang memenangi acara perseorangan lelaki TPB4 semalam, terlepas peluang untuk meraih pingat emas ketiga apabila hanya memperoleh pingat perak dalam acara beregu lelaki TPB4 bersama Mahamad Rizuan Madzhi (2,486 jatuhan pin).

Strong berjaya menebus kegagalannya untuk memenangi emas dalam acara All Events TPB4 dengan menjadi juara bersama Allen Tyler (2,606 jatuhan pin), manakala pasangan Sweden, Robin Liungkvist-Eddie Engstrom, meraih gangsa dengan 2,405 jatuhan pin.

Sementara itu, Malaysia memperoleh emas kedua pada hari kelima kejohanan melalui Marcos Chang yang mendominasi acara perseorangan lelaki TPB9 (kecacatan fizikal) dengan 1,393 jatuhan pin, mengatasi pemenang perak dari Korea Selatan, Heo Myeong Jin (1,321 jatuhan pin), manakala pingat gangsa menjadi milik pemain Taiwan, Lin Yen Shuan (1,283 jatuhan pin).

Sementara itu, Nur Amalina Mohd Mosadad menyumbang pingat perak dalam acara perseorangan wanita TPB10 (kecacatan fizikal) dengan 859 jatuhan pin, di belakang wakil Korea Selatan, Kim Su Yeong yang meraih emas (1,178 jatuhan pin), manakala Apinya Taisutan dari Thailand mendapat gangsa (520 jatuhan pin).

Gandingan Azeera Jalani dan Nur Syazwani Marais berjaya meraih pingat perak dalam acara beregu wanita TPB4 (2,120 jatuhan pin), di belakang pemenang dari Sweden, Lisa Nordstrom Green-Sabina Nilsson (2,659 jatuhan pin), manakala pasangan Singapura, Siti Nurhamizah Hamzah-Diane Neo melengkapkan podium dengan pingat gangsa (2,064 jatuhan pin).

Kejohanan Boling Dunia Para IBF 2025 selama seminggu itu akan berakhir Jumaat ini.

-- BERNAMA