Ketua jurulatih pasukan berbasikal trek negara, Harnizam Basri berkata berdasarkan keadaan semasa kecederaan yang dialami, atlet berusia 29 tahun itu masih mampu beraksi dalam kedua-dua acara tersebut.
Bagaimanapun, tahap kecederaan Shah Firdaus akan dinilai semula oleh barisan kejurulatihan selepas acara keirin yang dijadual berlangsung lebih awal berbanding acara pecut individu.
"Shah memang ada alami kecederaan di patela dan tulang bawah lutut. Setakat ini memang kita senaraikan beliau untuk dua acara iaitu keirin dan pecut individu.
"Apa yang pasti Shah akan sertai acara keirin sebab acara itu lebih awal pada 22 Feb. Selepas itu kita akan lihat situasi sama ada beliau cergas atau sebaliknya," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Sebelum ini media melaporkan, Olimpian negara itu dalam keadaan belum membuat keputusan untuk menyertai acara pecut di ACC 2025.
Shah Firdaus dilaporkan berkata acara pecut memerlukan kayuhan daripada tahap rendah ke tinggi berbanding keirin yang banyak bergantung kepada taktik dan strategi perlumbaan.
Dalam pada itu, mengenai persiapan skuad negara di kejohanan ACC 2025, Harnizam berkata semuanya berjalan dengan baik seperti yang dirancang sebelum ini.
Beliau berkata beberapa muka baharu yang cemerlang di Piala Presiden sebelum ini turut akan mengambil bahagian di kejohanan itu.
"Pada edisi kali ini kita senaraikan Mohd Akmal Nazimi Jusena dalam acara pecut berpasukan menggantikan Umar Hasbullah yang diletakkan sebagai simpanan.
"Untuk pasukan wanita pula kita menyenaraikan Nurul Alyssa Farid untuk tiga acara iaitu pecut individu dan berpasukan serta keirin," katanya.
Pada kejohanan ACC 2024 yang berlangsung di New Delhi India, Malaysia meraih dua emas dua perak dan satu gangsa untuk berada di tempat ketiga keseluruhan di belakang Jepun dan China
--BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)