Berdasarkan kemas kini terbaharu di laman web rasmi kejohanan hari ini, skuad Harimau Selatan bimbingan Hector Bidoglio itu naik satu anak tangga daripada kedudukan keempat dengan mengumpul 14 mata selepas beraksi tujuh perlawanan.
Juara Piala AFC 2015 dan juara Liga Super 10 kali berturut-turut itu merakam empat kemenangan, dua seri dan tewas sekali.
Dua kelab Jepun Yokohama F. Marinos dan Kawasaki Frontale berada di kedudukan dua teratas dengan masing-masing mengumpul 18 dan 15 mata.
Melengkapkan kedudukan lapan pasukan teratas, sekali gus layak ke pusingan 16 kejohanan itu adalah Gwangju FC dari Korea Selatan, Vissel Kobe (Jepun), Buriram United (Thailand) serta wakil China iaitu Shanghai Shenhua FC dan Shanghai Port FC.
Mengikut format pertandingan, JDT dijadual menentang Buriram United dalam aksi pusingan 16 yang dijalankan secara timbal balik pada Mac ini.
Semalam, AFC mengesahkan Shandong Taishan dianggap telah menarik diri daripada saingan di bawah Artikel 5.2 Peraturan Pertandingan selepas memaklumkan tidak menyertai perlawanan peringkat kumpulan menentang Ulsan HD FC dari Korea Selatan yang dijadualkan semalam.
-- BERNAMA
