KONFEDERASI Bolasepak Asia (AFC) menganggap Arif Aiman Hanapi sudah mencipta impak besar bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) musim ini.

Bagaimanapun, dalam satu sesi soal jawab bersama laman web rasmi badan induk itu, pemain sayap lincah berkenaan memilih untuk merendah diri dan memberikan kredit penuh buat pasukannya.

Setakat ini, pemain berusia 22 tahun itu telah menjaringkan empat gol dalam (ACLE) musim ini.
Iklan


Empat jaringan itu meletakkan Arif Aiman di tangga kesembilan senarai penjaring terbanyak, setara dengan nama-nama besar seperti Akram Afif (Al-Sadd), Riyad Mahrez (Al-Ahli) dan Ivan Toney (Al-Ahli).

Dia berkata: "Impak besar itu ialah terhadap pasukan dan dilakukan oleh pasukan, bukan saya seorang diri.

"Ia tentang kami semua memberikan yang terbaik dalam kesemua enam perlawanan peringkat kumpulan yang telah kami lalui, dan masih banyak bahagian yang perlu kami perbaiki.

"Kami perlu menambah baik lagi untuk perlawanan yang akan datang bagi memastikan kami mara ke pusingan seterusnya.

"Gol yang dijaringkan oleh saya adalah motivasi untuk saya dan saya akan terus berusaha dalam perlawanan akan datang."

Sebagai rekod, JDT ketika ini berada di tangga keenam Liga Bahagian Timur ACLE dengan lapan mata daripada enam perlawanan.

Hanya lapan pasukan terbaik daripada 12 pasukan akan layak ke pusingan kedua. - Stadium Astro