PERTAHANAN Johor Darul Ta'zim (JDT), Matthew Davies, melaungkan amaran bahawa Pohang Steelers bakal berdepan skuad yang berbeza berbanding pertemuan terakhir mereka pada 2021.

Perlawanan ini juga mampu menjadi kayu pengukur kepada perkembangan skuad Harimau Selatan yang tumpas dalam kedua-dua perhitungan terakhir dengan kelab Korea Selatan itu, namun di laluan tepat untuk mara ke pusingan 16 Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) 2025 menjelang pertemuan di Stadium Sultan Ibrahim malam esok.

"Kami tidak melihat kepada misi membalas dendam. Pertemuan lalu itu melibatkan skuad berbeza.

"Tetapi perlawanan ini masih amat penting bagi kami berpandukan cita-cita besar kami dalam ACLE.
"Selepas beberapa tahun, kami akan mengadakan semula pertemuan. Kami benar-benar telah meningkat selain memiliki lebih banyak pengalaman.

"Jadi esok akan menjadi perlawanan yang berbeza," katanya dalam sidang akhbar hari ini.



Sementara itu, ketua jurulatih JDT, Hector Bidoglio, menjunjung kasih kepada pemilik kelab, Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, atas perkenan seorang tonggak baru, Anselmo Moraes.

"Memang sasaran awal kami adalah untuk layak, kini kami memiliki peluang terhidang.

"Malam esok kami perlu peragakan corak permainan kami di depan penyokong sendiri.

"Roque Mesa tersisih (kecederaan lutut serius) sementara Anselmo Moraes tiba dua hari lalu.

"Inilah bola sepak, dia (Anselmo) perlukan masa untuk bermain sebagai sepasukan. Dia berpengalaman luas dan dia berada di sini untuk membantu pasukan.

"Murilo (Cerqueira) dan Juan Muniz juga sedia untuk diturunkan. Semua pemain sudah bersedia, kejohanan ini cukup penting.

"Kami perlu dapatkan kedudukan terbaik dan esok kami akan terus berkembang.

"Bos (TMJ) sentiasa memilih waktu dan situasi yang tepat untuk memotivasikan pemain. Saya juga gembira pemain sangat profesional dan berikan komitmen tinggi.

"Kami dalam situasi terbaik, baik di dalam mahupun luar padang," katanya pula. -- Stadium Astro