Selangor didenda AS$24,500 oleh AFC atas tiga kesalahan ketika bertemu kelab Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai FC dalam perlawanan Liga Juara-Juara AFC 2.
Astro Arena
Fri Jan 17 2025
Tindakan penyokong Selangor yang menayangkan kain sepanduk didapati telah melanggar Kod Etika dan Disiplin AFC. - Stadium Astro
SELANGOR menanggung denda AS$24,500 (RM110,000) daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) atas tiga kesalahan ketika bertemu kelab Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai FC, dalam perlawanan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) di Stadium MBPJ, 23 Oktober lalu.
Tindakan penyokong yang menayangkan kain sepanduk didapati telah melanggar Kod Etika dan Disiplin AFC dan kegagalan menurunkan kain sepanduk tersebut di stadium, selain didapati lewat memasuki padang untuk menyambung babak kedua.
Gergasi Merah -- yang menang 2-1 -- berdepan hukuman lebih berat sekiranya kesalahan serupa berulang pada masa akan datang.
Dalam masa sama, pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Natxo Insa, didenda sebanyak AS$5,000 (RM22,000) berhubung kenyataannya ketika tunduk 0-1 kepada Shandong Taishan dalam Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) pada 26 November lalu. -- Stadium Astro