Penamatan kontrak itu menandakan berakhirnya episod karier Neymar di Al-Hilal yang kurang memuaskan selepas pemain itu dibelenggu siri kecederaan.
Namun, Neymar tidak meninggalkan kelab itu dengan tangan kosong apabila dilaporkan Al-Hilal perlu membayar pampasan sekitar 38.33 juta euro (RM175 juta) kepada pemain itu.
Ia selepas kontrak Neymar masih berbaki enam bulan dengan nilai kontrak sebanyak 86 juta euro (RM394 juta).
Pihak Neymar dan kelab mengadakan mesyuarat akhir pada 27 Januari untuk menyelesaikan perkara itu dan akhirnya, Al-Hilal bersetuju dengan syarat Neymar, memahami bahawa pemain itu berkemungkinan memainkan peranan penting sebagai salah seorang duta untuk Piala Dunia FIFA 2034 di Arab Saudi.
Malah, kelab itu juga memutuskan untuk membayar Neymar sekitar RM175 juta sebagai sebahagian daripada penamatan kontraknya.
Neymar menyertai Al Hilal daripada PSG pada Ogos 2023 dan sepanjang 18 bulan di kelab itu, dia hanya bermain tujuh kali kerana dibayangi masalah kecederaan.
Namun, dia tetap menerima gaji yang dibayar sebanyak 131 juta euro sepanjang tempoh dia bersama kelab itu dengan purata menerima 25.47 juta euro (RM116.7 juta) untuk satu perlawanan. -- Sinar Harian