KUALA LUMPUR: Pelari pecut negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi memperbaharui rekod kebangsaan acara 60 meter (m) dalam dewan pada Kejohanan JemputanTiger Paw di Universiti Clemson California, Amerika Syarikat (AS) semalam.

Atlet berusia 21 tahun yang mewakili Universiti Auburn melakukan catatan masa 6.60 saat (s) di peringkat separuh akhir untuk layak ke final, sekali gus mengatasi rekod kebangsaan 6.62s yang dilakukannya pada kejohanan sama dua tahun lepas.

Pengarah Teknikal Kejurulatihan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Robert J Ballard berkata pada aksi saringan, Azeem, pemegang rekod 100m kebangsaan, melakukan catatan masa 6.62s sebelum memperbaiki catatan terbaiknya itu di separuh akhir.

Bagaimanapun, dia memutuskan untuk tidak beraksi pada pusingan akhir kerana mahu berehat.

"Azeem tidak mahu memaksa dirinya kerana dia merasakan perlu berehat memandangkan dia akan bertanding dalam satu lagi kejohanan di Texas dalam tempoh dua minggu lagi...dia telah melakukan banyak larian yang baik dan memutuskan untuk menamatkan aksinya selepas berjaya memecahkan rekod kebangsaan.

"Kami gembira dengan prestasinya dan berharap dapat melihatnya mencipta lebih banyak rekod," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pada aksi itu, pingat emas menjadi milik Adekalu Fakorede dari Universiti Mississippi State manakala perak dimenangi atlet Universiti Southern California, Travis Williams.

"Selepas dua tahun, kita kembali ke landasan sebenar. Alhamdulillah, rekod kebangsaan," menurut Azeem menerusi InstaStory yang dimuat naik menerusi laman Instagramnya semalam.

Sebagai rekod, Azeem sebelum ini mencatat rekod kebangsaan 6.62s dalam acara tersebut ketika menamatkan aksi final di tempat kelima pada Kejohanan Jemputan Tiger Paw pada Februari 2023.

Beliau kini perlu memastikan berada dalam kelompok 16 teratas bagi melayakkan diri ke final Kejohanan Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) bulan depan.

-- BERNAMA