KUALA LUMPUR: Gandingan profesional negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani merampas kedudukan selaku beregu lelaki nombor satu Malaysia yang sebelum ini milik juara dunia 2022 Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Berdasarkan ranking dunia terkini Persekutuan Badminton Dunia (BWF) Sze Fei-Nur Izzuddin melonjak empat anak tangga ke tempat ketiga selepas mengumpul 85,916 mata yang merupakan pencapaian tertinggi dalam karier mereka.

Pencapaian ini diperoleh susulan prestasi cemerlang apabila muncul naib juara Jelajah Dunia Akhir BWF 2024 di Hangzhou, China pada Ahad lepas.

Sze Fei-Nur Izzuddin, yang membuat penampilan sulung pada kejohanan itu, tewas 17-21, 21-17, 11-21 kepada pasangan Denmark Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dalam pertarungan tiga set yang mendebarkan.

Selain muncul naib juara Jelajah Dunia Akhir 2024, Sze Fei-Nur Izzuddin turut merangkul tiga gelaran Jelajah Dunia musim ini iaitu Terbuka Jepun (Super 750), Terbuka China (Super 1000), dan Terbuka Artik (Super 500).

Sementara itu, Astrup-Rasmussen melangkah ke tangga utama ranking dunia dengan  95,003 mata, menggantikan tempat pemenang pingat perak Sukan Olimpik Paris 2024, Liang Wei Keng-Wang Chang dari China, yang turun ke tempat kedua dengan 93,018 mata. 

Aaron-Wooi Yik yang juga pemenang gangsa Olimpik Paris 2024 turun satu anak tangga di tempat keenam dengan 82,615 mata.

Dalam kategori beregu campuran, pasangan nombor satu negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut mencatat ranking tertinggi dalam karier mereka apabila melangkah ke kedudukan keenam dengan 73,940 mata berbanding tempat kelapan sebelumnya, selepas pencapaian gelaran naib juara Jelajah Dunia Akhir BWF 2024.

Beregu campuran profesional negara Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie pula mendaki ke tempat ketujuh daripada tangga ke-10 selepas mengumpul 71,470 mata manakala pasangan China Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping kekal di kedudukan teratas dengan 98,700 mata.

Pemain perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia naik turut memperbaiki kedudukannya apabila menghuni tangga keenam dengan 79,016 mata berbanding tempat kelapan sebelumnya, manakala pemenang pingat emas Olimpik Paris 2024, Shi Yu Qi dari China kekal mendahului ranking teratas dengan 103,015 mata.

Dalam pada itu, beregu wanita utama negara Pearly Tan-M Thinaah mengekalkan kedudukan mereka di tempat keenam untuk minggu kelima berturut-turut selepas mengumpul 79,016 mata, di belakang Liu Sheng Shu-Tan Ning dari China yang mendahului carta dengan 102,746 mata.

Bintang Korea Selatan An Se Young terus mendominasi ranking perseorangan wanita dengan 109,267 mata manakala pemain profesional wanita Malaysia Goh Jin Wei di tempat ke-43 dengan 33,898 mata.

-- BERNAMA