Bagaimanapun kemenangan tersebut tidak mengubah keputusan apabila Malaysia terpaksa akur tewas 2-3 kepada Hong Kong dalam aksi pembuka tirai Kumpulan B di Qingdao.
Pasangan negara yang berstatus ke-15 dunia tidak berdepan masalah untuk menundukkan Hung Kuei Chun-Lui Chun Wai dalam tempoh 27 minit permainan.
Dalam aksi di Pusat Sukan Qingdao Conson itu, Wei Chong-Kai Wun mudah membenam cabaran Chun-Lui Chun Wai menerusi saingan straight set 21-13, 21-11.
Pemain perseorangan wanita, K Letshanaa turut 'mencuri' satu mata daripada Hong Kong setelah menumpaskan Saloni Samirbhai Mehta 21-18, 21-18.
Terdahulu beregu campuran, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin yang turun membuka gelanggang dan perseorangan lelaki, Justin Hoh tewas kepada lawan masing-masing.
Harapan kem badminton negara kepada beregu wanita, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing untuk meraih kemenangan juga tidak kesampaian.
Pasangan ke-48 dunia itu terpaksa akur tewas straight set kepada Yeung Nga Ting-Yeung Pui Lam 17-21, 14-21 dalam masa 50 minit permainan.
Hong Kong pada Selasa bermula dengan langkah kiri setelah kalah kepada Indonesia 0-5.
Peluang Malaysia untuk melangkah ke saingan suku akhir kian sukar apabila wajib mengalahkan Indonesia dalam aksi terakhir kumpulan pada Khamis.
Sebagai rekod, kem badminton negara tidak pernah melepasi peringkat kumpulan sejak kejohanan tersebut mula dipertandingkan pada 2017. -- Sinar Harian