Menyedari tanggungjawab besar dipikulnya, Pang Ron yang teruja dilantik sebagai kapten skuad kebangsaan bagi kejohanan itu berharap dapat memimpin rakan sepasukan dengan baik selain menerapkan semangat juang tinggi ketika berentap di Conson Gymnasium.
"Harap dapat cipta suasana yang bagus dan pasukan saling menyokong dan bermain dengan lebih semangat," katanya dalam video dikongsi Persatuan Badminton Malaysia kepada media semalam.
Dalam pada itu, jurulatih perseorangan lelaki negara K. Yogendran berkata mereka akan turun dengan barisan terbaik untuk menentang Hong Kong pada aksi pembukaan Kumpulan B, Rabu ini.
Beliau turut gembira dengan semangat sepasukan serta tenaga dipamerkan pemain negara pada sesi latihan pagi semalam.
Malaysia, yang tidak pernah melepasi peringkat kumpulan sejak kejohanan tersebut mula dipertandingkan pada 2017, akan berdepan musuh ketat Indonesia, Khamis ini.
Hanya dua pasukan terbaik setiap kumpulan mara ke suku akhir.
-- BERNAMA