Pengunduran Bryan sebagai pengarah teknikal pasukan terjun hadir seminggu selepas bekas penerjun wanita negara Wendy Ng dilantik sebagai jurulatih pembangunan bakat pasukan penerjun kebangsaan Singapura.
Bryan telah menghantar surat perletakan jawatannya pada 23 Disember lepas, dan secara rasmi menamatkan tugasnya bersama skuad kebangsaan pada 22 Januari untuk melebarkan sayapnya dalam bidang kejurulatihan.
"Betul saya sudah tinggalkan pasukan terjun negara. Saya dapat tawaran itu pada Disember lepas.
"Berkenaan negara itu saya tidak boleh dedahkan terlebih dahulu dan apa yang saya boleh kongsi ia di Asia. Apa-apa perkembangan saya akan maklumkan nanti," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Bryan, 34, pernah muncul atlet kedua termuda dunia yang beraksi di Sukan Olimpik Athens 2004 selain turut diangkat menjadi juara remaja dunia pada tahun sama.
Selepas bersara pada 2015, Bryan pernah menjadi jurulatih sambilan untuk pasukan terjun Selangor dan kemudian berkelana ke Timur Tengah untuk menjadi tenaga pengajar bagi Kelab Terjun Kazma di Kuwait sebelum dilantik sebagai pengarah teknikal pasukan terjun negara pada Oktober 2023.
Sementara itu, Bryan berkata antara detik manis bersama skuad kebangsaan adalah ketika beliau dan pasukannya membantu penerjun muda Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim menamatkan kemarau 18 tahun Malaysia menaiki podium pada Kejohanan Terjun Remaja Dunia 2024.
Pada kejohanan itu, Nur Qayyum berjaya merangkul pingat gangsa dalam acara 3 meter papan anjal lelaki (16 hingga 18 tahun).
"Walaupun bukan emas atau perak, pingat gangsa itu sememangnya bermakna kerana sudah lama Malaysia tidak dapat pingat di kejohanan remaja dunia," katanya.
Pada masa sama, Bryan percaya Renang Malaysia (MS) mampu mencari pengganti lebih baik bagi mengemudi skuad kebangsaan, selain yakin skuad terjun negara mempunyai potensi besar pada masa akan datang.
-- BERNAMA