Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Latihan Sukan Universiti Malaya, Mohamad Faithal Hassan melihat keputusan mewujudkan jawatan CEO untuk mengendalikan FAM, sebagai langkah awal menuju ke arah penswastaan.
"Apabila FAM membuat keputusan untuk melantik CEO untuk mengendalikan FAM pada masa yang sama, saya beranggapan bahawa langkah ini adalah menuju ke arah penswastaan FAM.
"Jadi apabila pergerakan ke arah penswastaan FAM ini berlaku... di mana saya menyambut baik sekiranya itu sebenarnya hala tuju FAM sekarang. Tetapi pada masa yang sama pemilihan untuk siapa yang mengetuai FAM adalah sangat penting dan sangat kritikal ketika ini.
"Apabila penswastaan dilaksanakan, maka adalah penting FAM itu dikemudi ataupun diketuai oleh seseorang yang bebas daripada sebarang pengaruh politik, sebarang pengaruh-pengaruh lain. Menjadikan seorang itu yang adil dan layak mengetuai FAM.
"Bagi saya apabila berlaku penswastaan, tokoh tokoh korporat merupakan individu dilihat layak kerana apabila FAM dijadikan satu entiti swasta, maka pendapatan utama FAM, sebilangan besar akan datang daripada bagaimana FAM itu sendiri menjana kewangan mereka.
"Jadi adalah lebih sesuai sekiranya presiden FAM yang akan datang terdiri daripada golongan korporat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Astro AWANI pada Sabtu.
Mengulas lanjut, beliau melihat usahawan Tan Sri Tony Fernandes sebagai calon paling layak untuk menerajui FAM.
Ini kerana Ketua Pegawai Eksekutif Capital A itu memperlihatkan minat mendalam beliau dalam arena sukan sebelum ini.
"Apa yang saya dapat lihat sekarang Tan Sri Tony Fernandes sebab kalau kita lihat, beliau mempunyai minat yang tinggi mengendalikan bola sepak malahan sebelum ini kalau dilihat beliau menunjukkan minat mengetuai apa jua persatuan sukan di Malaysia," katanya.